Assalamualaikum ...
Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu denganNya pada hari kiamat mengenai apa yang dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah SWT menerusi firmanNya yang bermaksud : ''Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati dan semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.''
(Surah Al-Israa ayat 36)
Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Hati boleh bertindak untuk meneruskan atau memberhentikan sesuatu peperangan jika hati melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.
Nabi Muhammad SAW menganggap hati manusia sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik maka baiklah seluruh anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya :
''Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.''
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)
10 perkara tanda-tanda hati yang rosak :
- Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.
- Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
- Merasa seronok bergelumang dengan dosa.
- Tidak mempedulikan perintah Allah SWT malah suka terbabit pada laranganNya.
- Benci kepada orang-orang yang soleh atau mereka yang suka melakukan kebaikan.
- Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraanya.
- Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat kepada agama.
- Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokkannya.
- Takut kepada orang yang gagah tetapi sedikit pun tidak takut kepada Allah SWT.
- Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.
Semoga hati kita tidak tergolong dalam golongan yang ini. Mudah-mudahan di jauhkan Amin Ya Rabbal Alamin. Semoga menjadi iktibar dan panduan dalam hidup kita sebagai hamba Allah SWT.
Wassalam ...
No comments:
Post a Comment